Aug 30, 2020 - FASAksi perlawanan CIMB Liga Super 2020 di antara pasukan Selangor dan PJ City FC berakhir dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Selangor bermula garang pada aksi separuh masa pertama dengan kerap mengasak kubu pertahanan The Phoenix dan hampir berjaya untuk memecah kebuntuan pada minit ke-34 melalui sepakan percuma Sandro Da Silva, namun percubaan pemain Brazil itu hanya singgah di palang gol pasukan lawan.
Beberapa percubaan tepat berjaya dilepaskan oleh pemain tengah Brendan Gan dan Sandro Da Silva pada penghujung babak pertama, namun percubaan mereka berjaya diselamatkan oleh penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Alhafiz.
Ketua Jurulatih, B. Sathianathan membuat dua pertukaran pada minit ke-63 dengan memasukkan Wan Zack Haikal dan Ifedayo Olesegun bagi menggantikan Rufino Segovia dan Syazwan Zainon untuk menambah lebih bisa jentera serangan pasukan Selangor.
Wan Zack Haikal yang baru sahaja pulih dari kecederaan panjang hampir meletakkan pasukan Selangor di hadapan pada minit ke-83 namun sepakan percuma beliau sedikit tersasar.
3 lagi pertukaran dilakukan menuju ke penghujung aksi separuh masa kedua dengan K. Prabakaran, Halim Saari dan Syahmi Safari digantikan dengan Azrin Afiq, Anwar Ibrahim dan K.Sarkunan.
Selangor jelas mendominasi permainan namun tuah tidak menyebelahi skuad merah kuning apabila PJ City kental bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan menjadikan keputusan penuh 0-0.
“Kita memiliki lebih penguasaan bola dari pihak lawan, kita ada peluang tapi kita tak ambil peluang tersebut”, ujar ketua jurulatih Selangor itu.
Keputusan seri ini memberikan satu mata buat Selangor dan meletakkan mereka di kedudukan ke-8 liga, 7 mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim.
Skuad Selangor akan terbang ke Kota Kinabalu, Sabah untuk bertemu pasukan Negeri di Bawah Bayu itu di Stadium Likas pada 3 September 2020.